welcome

"blog ini blog biasa milik insan biasa"



Thursday 12 April 2012

ASSIGNMENT COMEL UTK KIMIA TAK ORGANIK

Tentang Diriku
“Layang – layang tak akan terbang tinggi di langit kalau tak ada angin yang menolaknya”;  kata- kata ayah ini padaku 2 tahun lalu terus menjadi pegangan untuk aku bangun menempuh segala cabaran dan dugaan yang bakal dilalui dalam hidup.Realitinya memang perit untuk ditelan bagi yang merasainya namun biarlah semua itu tinggal kenangan dan aku jadikan ia pedoman untukku kenang sampai bila-bila.Lantaran itu juga aku berada di sini sekarang,UMT. Aku yakin setiap orang punya jalan cerita hidup mereka sendiri. Tuntas,aku juga punya jalanku tersendiri. Jalan yang penuh suka duka,jalan yang penuh keperitan dan kegembiraan. Inilah kisah hidupku.

Saat diilhamkan kepadaku untuk menyiapkan tugasan “Tentang Diriku” ini dan saat pena berlari di atas kertas putih ini,insan yang senang dipanggil ‘EZZAT’ dikalangan  kenalan rapat terus diberi kesempatan oleh Allah s.w.t untuk menerima nikmat kehidupan hingga sekarang,genap usiaku 20 tahun 3 bulan.Terasa istimewa apabila berbicara tentang usia dengan rakan segenerasiku  “gen 91” kerna akulah yang paling muda antara mereka. Mana tidaknya, detik-detik aku dilahirkan jam menunjukkan 15 minit lagi ke tahun baru,1992 dan secara langsungnya aku tergolong dalam kalangan insan-insan yang terakhir dilahirkan pada tahun itu.Namun begitu,aku tetap yang paling “besaQ” dan nampak matang (nampak jerrr..) dibandingkan dengan kawan-kawanku.

Nama di  IC , Nur Izzati Bt Shalahuddin .Aku dilahirkan di Hospital Daerah Baling,Kedah.Puteri sulong  kepada En. Shalahuddin B. Ghazali dan Pn. Rohana Bt. Ibrahim.Mempunyai 6 orang adik beradik.Adik yang pertama Izzat baru saja memperoleh keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan menunggu masa untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA.Tapi ayah berhasrat untuk manghantarnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar,Mesir.InsyaAllah. Adik yang kedua Yassier bakal menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) manakala adik yang ketiga Asshiddiqin pula bakal menghadapi peperiksaan Ujian Penilaiaan Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.Takut pula aku melihat cara mereka belajar,terlalu bersahaja .Seorang sibuk dengan motor vespanya,seorang lagi sibuk makan memanjang. Mungkin itu cara mereka menghilangkan stress selepas penat seharian belajar di sekolah.Adik yang keempat Husnul dan terakhir Auni masing-masing ditahun 4 dan 1.

Aku mendapat pendidikan awal dari tahun 1 hingga tahun 6 di Sekolah Kebangsaan Mergong,terletak kira-kira hanya 1 km dari rumahku.Diusia ini,macam-macam yang telah aku dan Izzat lalui disebabkan kehidupan ketika itu tak sesenang sekarang.Kami belajar erti kesusahan,berdikari dalam membuat keputusan dan terima seadanya.Akan tetapi,tak bererti kepayahan hidup itu menutup ruang kegembiraan dalam hidup kami.Masih ingat lagi,di waktu petang mak akan sibuk memasak berbagai jenis makanan;bihun gorang,nasi lemak ,kuih muih dan sebagainya untuk aku dan Izzat jual pada waktu malamnya di asrama pelajar Institut Pengajian Islam INSANIAH(kini dikenali sebagai Kolej Universiti Insaniah Alor Star).Kami akan bergilir-gilir membawa bakul yang berisi makanan dan mengetuk pintu dari bilik ke bilik.Tipulah kalau kami katakan yang kami tak malu pada mulanya,tapi lama kelamaan kami sudah mulai seronok dengan aktiviti tesebut.Ramai jugalah kakak-kakak dan abang-abang yang kami kenal ketika itu.Mungkin sekarang dah berkeluarga semuanya.Bukan itu saja,selepas selesai semuanya kami akan akan belajar Bahasa Arab dengan seorang kakak nie,dah lupa namanya.Beruntung kami disitu,walaupun di sekolah tidak belajar “bahasa syurga” ini,sedikit sebanyak asasnya telah dapat kami kuasai.Tersiratnya,ayah bukan saja mahu melihat kami berani berhadapan dengan orang tetapi juga memupuk minat kami untuk mendalami ilmu agama.

Kemudian,aku melanjutkan pelajaran peringkat menengah di salah sebuah sekolah agama terkemuka di Kedah iaitu Maktab Mahmud Alor Setar.Saat mendapat tawaran ke situ,saat itulah aku dapat rasakan keajaiban telah terbukti berlaku.Impian awal yang kukejar tidak kesampaian kerana peperikasaan UPSR sebenar aku tidak mendapat semua A.Tidak pernah terlintas dalam benak fikiranku untuk menyambung pengajian di MMAS sebaliknya ingin ke sekolah berasrama penuh yang lain.Bayangkan,tiada persediaan rapi yang aku buat untuk menghadiri ujian saringan selain daripada 5A keputusan percubaan UPSRku  sebagai tiket untuk melayakkan aku mendapat tempat di MMAS. Mak dan ayahku yang beria-ria mahukan aku masuk ke sekolah itu. Tapi,pada hari ujian tersebut hatiku tergerak untuk menunggu sehingga tamat waktu ujian walaupun semua telah selesai dijawab bersama beberapa soalan yang aku main “hentam”.Nasib menyebelahi aku ketika itu apabila seorang guru pengawas yang menjagaku menegur beberapa kesilapan yang telah aku buat. Aku yakin pasti ada hikmah disebaliknya.Ternyata disini,Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita dan dengan berbagai cara Dia menurunkan rahmat kepada hambaNya. Inilah pengalaman yang terindah dalam hidupku apabila dapat mengembirakan dan memuaskan hati mak dan ayahku kerana apa yang terbaik mereka tentukan untukku adalah sememangnya yang terbaik untukku.

Selepas 5 tahun di MMAS dimana skop akademiknya diseimbangkan dengan pengajian ilmu agama,aku meneruskan pengajian ke Kolej Matrikulasi Kedah dalam bidang sains hayat.Mungkin disebabkan aku mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan cara pembelajarannya;aku tidak dapat memberikan yang terbaik sepanjang semester 1 aku di sana.Hal ini kerana pada mulanya aku sangkakan aku hanyalah pelajar ’in transit’ dan akan melanjutkan pengajian di tempat lain selepas beberapa bulan disitu malangnya tidak,.Proses pembelajaran yang agak berat bagiku dalam masa yang singkat menambahkan lagi beban belajar aku sehingga aku mengistilahkan kehidupan di matrik umpama “penjara”.Apabila hampir peperiksaan akhir,kekecewaan bersama air mata sahaja yang setia menemaniku akan tetapi peperiksaan tersebut terpaksa aku tempuh jua.

Pada awal semester 2,keputusan peperiksaan semester 1 diumumkan pada hari Khamis dan sememangnya aku dapat jangkakan keputusan yang bakal aku peroleh.Dengan PNGK 2.47 ,aku menghubungi ayahku untuk menamatkan pengajian dan keluar daripada matrik pada hari itu juga.Setahu aku,selalunya sekiranya seorang pelajar itu tak dapat keputusan yang baik pada semester 1,pada semester 2 akan lagi merana kerana pada semester itu makin mencabar.Aku memang mudah “terpsyco” dengan kata-kata orang lantas terus berasa lemah.Ayah tetap menenangkan aku supaya bersabar dan berusaha lagi pada semester 2.Memandangkan hari hujung minggu,aku pulang ke rumah dan berusaha melupakan sejenak hal itu dengan menyibukkan diri dengan persiapan untuk hari kenduri sepupuku.Petang Sabtu selepas selesai majlis tersebut ayah menghantarku kembali ke matrik.Memang berat hati aku melangkah pergi ,dan mak sememangnya mengerti apa yang ku rasakan.Perjalanan dari rumah ke matrik memakan masa 45 minit dan dalam tempoh itu juga air mata tak henti-henti mengalir.Semakin deras air mataku mengalir apabila ayah tak henti-henti memberiku nasihat dan semangat untuk bangun kembali.Memang terkesan dengan frasa ‘layang-layang’ itu ,aku terus bangun bagi tidak menghampakan mak dan ayah.Memang sakit dan sememangnya perit aku sahaja yang tahu,tapi disebabkan aku ada matlamat sendiri aku mesti berusaha lebih daripada orang lain.Hasilnya,keputusan pada semester 2 aku mendapat genap PNGKku 3.00.Aku amat bersyukur kerana dapat menghabiskan pengajian aku di matrik dengan baik tanpa perlu mengulang.Aku bertekad bahawa aku tidak akan melangkah lagi kaki ke matrik sebagai seorang pelajar tetapi seorang pensyarah Kimia di sana.Dan sekarang,walaupun dengan pilihan ke-8 yang aku letakkan aku kini bergelar mahasiswa Sarjana Muda Sains (Sains Kimia) di Universiti Malaysia Terengganu.

Cita-citaku untuk belajar bukan terhenti disini saja.Selesai saja bergraduat nanti aku ingin melanjutkan pengajianku ke peringkat Sarjana dalam bidang Forensik di UTM seterusnya PhD di luar negara .ini kerana harapanku adalah untuk menebus kembali tawaran Ijazah Sarjana Muda Perubatan & Pembedahan di Universiti Al-Azhar Mesir yang hampir aku jejaki 3 tahun lalu lantas pada saat akhir terpaksaku tolak kerana status kewangan yang masih tidak terjamin bagi tahun ke-2 dan berikutnya. ”Tak dapat ke Egypt, Adelaide pulak yang menunggu..Doakan saya ya Dr.K..”(^_^)v